Wednesday 24 July 2013

8 RAMADHAN 1434H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.  Alhamdulillah bertemu lagi kita di Ramadhan kelapan.  Alhamdulillah masih bertenaga dan bertambah cinta di bulan mulia ini.  Hari ini, suka untuk ana terus berkongsi pengisian tazkirah malam ini memandangkan rutin seharian sama setiap hari.  Siang, membantu mak dan mengemas rumah dan selepas Maghrib menapak ke Surau As-Solihin.

Tazkirah hari ini disampaikan oleh Ustaz Mohd Anas Ibrahim.  Penekanan tazkirah hari ini ialah maksud dan musabab “Tazkirah”.  Apakah maksud tazkirah?  Secara ringkasnya, tazkirah adalah satu bentuk peringatan atau nasihat.  Kenapa tazkirah penting dalam kehidupan kita?  Hah, inilah jawapannya ….

1.  Tazkirah merupakan salah satu perintah Allah sebagaimana telah disuratkan di dalam Surah Al-A’ala di dalam Kitab suci Al-Quran.  Merujuk kepada tafsir Al-Quran, kandungannya sudah cukup membuktikan tentang kepentingan tazkirah (saling ingat mengingati) dan surah tersebut ada menggelarkan golongan yang tidak mahu mendengar nasihat sebagai “al-Asyqa” bermaksud ‘paling celaka (kafir)’.

2.  Tazkirah dalam erti kata lain ialah majlis ilmu.  Sabda Nabi Muhammad SAW; 
“Barangsiapa yang pergi ke majlis ilmu pada bulan Ramadhan, Allah SWT memberi ganjaran bagi setiap langkah dalam perjalanannya.” – Subhanallah sehebat itu ganjaran di bulan puasa.

3.  Tazkirah atau kata nama lainnya ialah nasihat untuk memperingati manusia yang dasarnya bersifat pelupa.  Ustaz memberitahu perkataan “manusia” berasal daripada perkataan “nusia” yang bermaksud ‘lupa/lalai’ :( Terlalu banyak jalan dan usaha melalui amalan Baginda dan para sahabat serta pada nama Islam itu sendiri di mana mereka sendiri mempraktikkan amalan itu sebagai langkah untuk tidak leka.  Antara contoh yang diberi oleh ustaz ialah:

-          Sahur sunat dilewatkan untuk memudahkan manusia untuk terus mengerjakan solat Subuh.  Waktu sahur yang dimaksudkan lewat ialah di antara 40 minit hingga 1 jam sebelum masuk waktu Subuh.  Digambarkan oleh para ulama, sahur yang dilewatkan samalah masanya dengan membaca 50 ayat Al-Quran
 -          Sunat diawalkan berbuka puasa.  Waktu berbuka puasa diawalkan bermaksud ketika sudah masuknya waktu berbuka atau berkumandangnya azan Maghrib, segera berbuka puasa.  Info baru bagi ana dan mungkin juga untuk sahabat, mengikut sunah Baginda, sebaik-baik juadah ketika bersahur ialah kurma kering dan ketika berbuka ialah kurma basah.  Apa beza? Jom research! (Ana pun tak tahu.. hehe)
 -          Ada yang bertanya kepada ustaz, jika terperangkap di dalam traffic jam, apa  yang patut dilakukan?  Seringkali mendengar jawapan umum, batalkan puasa dengan apa cara sekalipun.  Jawapannya salah.  Kata ustaz, menyegerakan berbuka puasa itu SUNAT bukan wajib.  Terlambat untuk berbuka puasa walaupun pada jam 8.00 malam itu tidak berdosa.
 -          Berbuka puasa dengan makanan yang tidak dicemari najis supaya makanan yang dihadam tidak memberi mudarat pada kesihatan batin kita – hati dan iman.  Contoh yang ustaz beri, martabak yang dimasak bersama telur yang tidak dibasuh itu disebut najis.
 -          Berbuka puasa ala kadar dan berhenti sebelum kenyang perlu untuk memudahkan umat manusia mengerjakan ibadah selepas berbuka.  Sedang Baginda sendiri nasihat perut manusia itu dibahagi tiga (3) iaitu 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 yang lainnya untuk pernafasan.

Antara kandungan ceramah ustaz yang lain ialah tentang syafaat dan ganjaran dalam bulan Ramadhan.  Bulan Ramadhan turut disebut sebagai Bulan Al-Quran kerana Kitab suci itu diturunkan dalam bulan Ramadhan dan itulah sebab utama syafaat bulan Ramadhan tidak sama dengan bulan lain.

Ganjaran dalam bulan puasa terbahagi kepada dua iaitu ganjaran puasa dan ganjaran pahala.  Yang disebut ganjaran puasa itu adakah kita sekadar menahan lapar dahaga atau kita mengambil peluang puasa untuk meningkatkan amal ibadah?  Yang dimaksudkan ganjaran pahala pula, adakah kita menjaga amal kita, pancaderia kita semasa di dalam bulan puasa?

Pesan ustaz sebelum mengakhiri sesi tazkirah malam ini supaya elakkan untuk tidak membaca Al-Quran lebih daripada tiga (3) hari kerana digambarkan perlakuan itu akan melayukan iman.  Wallahualam.


Sekian dari ana. Assalamualaikum wbt :)

Tuesday 23 July 2013

7 RAMADHAN 1434H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.  Hari ini, masih setia dengan Ramadhan yang sudah masuk hari ketujuh, jika ikut kalendar sudah cukup 1 minggu kita berpuasa.  Alhamdulillah, kejayaan yang cukup membanggakan. Hehe…

Aktiviti siang hari di rumah seperti biasalah.  Kemas rumah, kemas apa yang patut, tolong mak di dapur dan persiapan juadah berbuka.  Basuh pinggan?  Di rumah ana, mestilah ikut  shift.  Almaklumlah adik-beradik perempuan ramai. Hehe…

Hari ini, misi tarawikh ana ditemani mak dan jiran yang ana jumpa semalam.  Bertiga kami gerak ke surau sebelum azan Isyak berkumandang.  Nak cerita ni… malam ini, tarawikh dipimpin oleh ‘ustaz misteri’ di mana bacaan ayat Al-Quran yang dialunkannya seakan berlagu (bukan seperti tarannum biasa yang didengar), sangat unik, mendayu dan membuatkan ana terpukau.  Kenapa ana gelarkan dia “ustaz misteri” kerana ana tidak pernah nampak kelibat wajahnya walaupun sesudah solat dan ketika bertazkirah.  Tidak pernah dia memandang ke belakang, sentiasa menundukkan wajah dan seperti menyorok dari jemaah perempuan.  (rasa dah macam jatuh cinta pula… oh no!) tapi baguslah camtu kan?

Tazkirah hari ini berkisahkan tentang kelebihan bulan Ramadhan.  Informasi yang ana dapat dalam ceramah malam ini sangat menarik dan ada di antaranya tidak pernah ana tahu dan dengar sebelum ini.  Apa lagi… catat dan simpan la dalam dada … :) Jom kongsi!

“Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan, Allah mengharamkan api neraka menyentuhnya”

-          Kegembiraan yang dimaksudkan bukanlah bersifat duniawi di mana sukanya orang akan kewujudan bazar Ramadhan, peluang balik kerja/sekolah awal tetapi bergembira dengan gandaan pahala bagi setiap amal di bulan Ramadhan…
Dikhabarkan pada zaman Rasulullah SAW, Baginda pernah berkata umatnya mengimpikan 11 bulan selepas Ramahan sama syafaatnya seperti di dalam bulan mulia itu kerana gandaan pahala dan ganjaran yang dijanjikan Allah bagi hamba-Nya yang beramal soleh.  Sahabat juga mengimpikan meninggal dan mendapat rahmat seperti di dalam bulan Ramadhan.  Subhanallah Maha Suci Allah.
Info menarik tentang Ramadhan:
-  Malam 1 – 10 Ramadhan dikenali sebagai “Awanurrahman” iaitu “Malam Rahmat”
-   Malam 11 – 20 Ramadhan dikenali sebagai “Malam Maghfirah” iaitu “Malam Keampunan”
-  Malam 21 – akhir Ramadhan dikenali sebagai “Malam Penentuan” di mana pada malam ini menjadi bukti sahih untuk pembebasan diri daripada api neraka – mencari Malam Lailatul Qadar

Baiklah sebelum ana menutup coretan kali ini, suka untuk ana bertanya satu soalan kepada sahabat-sahabat…

“Jika berlaku pertembungan di antara perkara baik dan perkara buruk, pihak manakah yang akan menang?  Jelaskan.”


Siapa dapat jawab, bertambahlah bekalan ilmu di dada … :) Assalamualaikum wbt :)

6 RAMADHAN 1434H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.  Apa khabar sahabat-sahabat ana semua?  Semoga semua sihat sejahtera diberkati Allah SWT.  Amin… Alhamdulillah masih diberi peluang bertemu Ramadhan keenam.  Hari ini seperti biasa duduk di rumah, bantu mak di dapur untuk juadah berbuka dan goyang kaki tengok tv. Hehe…

Hari ini 15 Julai 2013, nyaris-nyaris ana tidak pergi tarawikh di surau seperti mana rutin sebelumnya.  Bertukar-tukar rancangan dengan angah memandangkan masa suntuk untuk urusan lain.  Terkejut ana pabila mak mencadangkan supaya tidak ke surau malam ini.  Ana faham maksud mak, tidak mahu ana terkejar-kejar untuk urusan lain.  Tapi apakan daya .. cinta ana pada Ramadhan terlalu tebal dalam diri.  Selagi ada kudrat, ana tidak mahu tinggal walaupun sehari. Sayang sangat…

Memandangkan angah mahu bertarawikh di rumah sahaja, ana memilih untuk ke Surau As-Solihin yang berdekatan di rumah sahaja.  Perjalanan tidak sampai 10 minit.  Kebetulan di sana ana bertemu dengan jiran-jiran satu perumahan.  Tidak berasa kekok untuk saling menyapa. Tarawikh di surau ini hanya lakukan 8 rakaat dan 3 witir.  Seronoknya di sini, tazkirah diadakan selang 4 rakaat tarawikh.

Tazkirah hari ini disampaikan oleh Ustaz Fattah yang juga merangkap guru Tauhid tetap di surau ini.  Best ceramah yang beliau sampaikan.  Kandungan ceramah menekankan tentang bilangan jemaah di surau semasa awal dan akhir Ramadhan.  Isi ceramah kebiasaan seperti ustaz-ustaz lain tetapi apa yang ana tertarik padanya ialah cara ustaz menyampaikan ceramah. LAWAK. I like ! 

Ustaz Fattah juga ada bercerita tentang kisah seorang sahabat Rasulullah SAW; Saad bin Muaz yang dipilih menetap di syurga kerana amalnya suka memakmurkan rumah Allah.  Ustaz Fattah juga ada bercerita tentang kisah cinta tidak kesampaian Saad bin Muaz dengan Atiqah; ratu cantik solehah pada zaman Nabi dahulu.  Suka untuk ana berkongsi tentang Saad bin Muaz dan kisahnya bersama Atiqah.  Jom baca !

Saad bin Muaz ini merupakan seorang sahabat Baginda yang sentiasa menghabiskan masa senggangnya di rumah Allah.  Setiap waktu solat, beliau sentiasa ada di surau/masjid.  Digambarkan Saad bin Muaz ini berkulit gelap dan ada ulama mengatakan jika dibandingkan beliau dengan Bilal bin Rabah, Saad bin Muaz jauh lebih gelap daripada Bilal bin Rabah.
Satu ketika, Baginda bertanya pada Saad tentang hajat Baginda memperjodohkan beliau dengan ratu cantik solehah ketika itu yang bernama Atiqah.  Saad menolak kerana berasa rendah diri akan sifat luarannya yang tidak kacak dan tidak sepadan dengan kecantikan Atiqah.  Baginda memujuk Saad dan berserah kepada keputusan wali Atiqah nanti (Jika diterima, bersatulah mereka.  Jika tidak, mereka redha).
Baginda kemudiannya berjumpa dengan ayahanda Atiqah dan menyampaikan hajatnya.  Lamaran tersebut ditolak mentah-mentah oleh wali ratu cantik itu atas alasan Saad bin Muaz tidak sepadan dengan anaknya.  Masya Allah.. Akan tetapi, selang beberapa hari, Atiqah yang digambarkan sangat bijak berbicara dan mampu membuatkan orang lain terpegun dengan kata-katanya itu telah menyedarkan ayahandanya.  Atiqah mempersoalkan tindakan ayahandanya. Katanya, mustahil untuk Rasulullah SAW ingin menjodohkan beliau dengan seseorang yang tidak baik perilakunya sedangkan Baginda sendiri ialah orang yang sangat dihormati. Persetujuan telah dicapai dan Saad bin Muaz juga Atiqah akan disatukan pada suatu tempoh.   
Diceritakan oleh para ulama, 3 hari sebelum Saad bin Muaz mengikat tali pernikahan bersama Atiqah, Saad bin Muaz telah tersungkur wafat di medan peperangan.  Baginda yang melihat mayat Saad di medan perang berasa gembira dan terkilan dalam masa yang sama.  Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, kenapa aku melihat engkau bersedih dan kemudiannya engkau tersenyum melihat mayat Saad ini?”  Khabar Baginda, beliau bersedih kerana Saad bin Muaz tidak sempat melangsungkan hari bahagianya dengan Atiqah, akan tetapi beliau gembira kerana ketika jatuhnya Saad bin Muaz menyembah bumi dan meninggal dunia, bergegarlah Arasy Allah.  Subhanallah ! (meremang bulu roma ana mendengar ceramah tentang Saad ini).  Begitulah balasan Allah terhadap orang-orang yang memakmurkan rumahnya… Syurga Al-Jannah tempat bagi Saad bin Muaz.  Allahuakhbar !

Ada satu perkara lain yang buat ana tertarik dengan ustaz ini di mana beliau memimpin jemaah tarawikh dengan alunan ayat Al-Quran yang sangat jelas.  Setiap butir ucapan dan bacaan diungkap dengan jelas dan penuh penghayatan (sampaikan ada jemaah yang menganjing la di saf belakang.. Nauzubillah..)

Sesudah tarawikh, witir dan doa, ana balik seorang diri.  Ana fikirkan mahu balik dengan makcik jiran satu blok.  Rupa-rupanya makcik dah balik sejurus selepas habis witir.  Tak apalah, lagipun Insya Allah keselamatan terjamin.  Kawasan perumahan polis pulak …

Insya Allah esok dan kemudian harinya, ana akan ke surau ini lagi… Sehingga berjumpa lagi. Fi hifzillah.  Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh :)


Saturday 20 July 2013

4 & 5 RAMADHAN 1434H

4 Ramadhan 1434H 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.  Sebelum ana mulakan cerita Ramadhan seterusnya, dengan rasa khilaf, ana nak minta maaf terlambat update tentang semalam.  Almaklumlah ana bergantung pada broadband connection.  Semenjak balik rumah ni, jarang-jarang dapat line yang memuaskan hati.

Baiklah, lebih afdhal kita mulakan dengan kisah 4 Ramadhan.  Semalam ana berbuka di rumah baru kakak kesayangan ana di PJ.  Tengah hari ana bertolak bersama keluarga dan terus berkecah di dapur untuk hidang juadah berbuka.  Tentang tarawikh, pada mulanya ana dan abah niat mahu laksanakan di Masjid PJ, namun disebabkan kesuntukan masa dan jarak perjalanan yang agak lama serta kesukaran untuk mencari parking kereta, kami turutkan bertarawikh di surau penduduk di situ.

Subhanallah, satu kejayaan bagi ana, mak dan abah.  Kami berjaya melunaskan 20 rakaat tarawikh berserta 3 witir.  Alhamdulillah syukur kepada Allah diberi kekuatan, semangat dan kesabaran untuk berjemaah dengan penduduk di sana.  Selepas witir, ana sempat bersama-sama muslimin dan muslimat untuk progam tahlil. 

Di sebelah malam selepas selesai tarawikh, ana meluangkan masa berharga bersama keluarga dan membantu kakak ana mengemas.  Almaklumlah dapat rumah baru :) Baiklah, selesai untuk hari puasa keempat.

5 Ramadhan 1434H 

Hari ini, ana kembali berbuka puasa di rumah.  Buat kali pertama tanpa abah yang disayangi.  Abah kerja outstation. Kasihan mak, hilang kekasih sekejap.  Oh ya, hari ini angah dari Segamat tidur di rumah.  Dia ada kerja di KL buat sementara waktu.  Seorang lagi perlu berjauhan dengan keluarga dan anak-anak.  Inilah pengorbanan hidup.

Malam ini, ana bertarawikh bersama angah.  Selepas semalam, ana berjaya kuatkan diri menghabiskan 20 rakaat, Alhamdulillah hari ini ditambah rasa cinta untuk melaksanakan 20 rakaat berserta 3 witir juga.  Sewaktu turun daripada motor, angah bertanya juga sama ada ana mahu lakukan 8 rakaat sahaja atau tidak, ana akan mesej dia kemudian.  Selepas rakaat kelapan, ana mesej angah, ana beritahu dia, ana mahu teruskan.  Dia pun sama. Sweet kan? :)

Oh ya! Hari ini pun berkira-kira juga mahu solat di surau berdekatan dengan rumah atau di Masjid BTS.  Mak khabarkan surau yang 5 minit berjalan kaki dari rumah itu, hanya buat 8 rakaat tetapi bacaan surah yang panjang.  Akhirnya, angah sendiri yang membuat keputusan dan mengajak ana melaksanakan di masjid BTS tetapi bukan kerana yang dikatakan mak ya… sengaja berubah angin..

Sekian daripada ana.  Sehingga berjumpa lagi ya sahabat :) Fi hifzillah dan selamat bertemu Ramadhan keenam … Assalamualaikum wbt :)



3 RAMADHAN 1434H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.  Apa khabar sahabat? Semoga semuanya sihat sejahtera.  Insya Allah.  Alhamdulillah hari ini puasa Ramadhan ketiga masih lagi diberi peluang merai bulan mulia ini.  Hari ini juga hari terakhir ana di bandar Melaka buat semester ini.  So, ana dan teman-teman rumah rancang untuk berbuka di luar.  Alhamdulillah rezeki Allah bagi, perkhidmatan yang baik dan tiada masalah.

Sekembali dari berbuka puasa, ana berpecah dengan rakan serumah di mana ana terus menuju ke surau As-Sakinah AYAM.  Walaupun agak keletihan, ana sesekali tidak mahu terlepas peluang berjumpa Yang Maha Esa di bulan penuh barakah ini. 

Hari ini, surau agak lengang.  Fikir ana mungkin ramai yang dah balik memandangkan minggu ini minggu terakhir peperiksaan dan jemaah kebanyakan adalah daripada golongan pelajar-pelajar di institusi berdekatan juga.  Apa-apa pun misi Ramadhan tetap diteruskan.  Hari ini, ana berasa sedikit terkilan kerana ana tidak berapa khusyuk dalam solat, hampir-hampir ana terlena ketika bersolat.  Astaghfirullah Al-Azim.. Moga-moga tidak terjadi lagi la selepas ini. 

Tazkirah hari ini disampaikan sendiri oleh imam surau.  Pengisian yang sangat padat.  Isi utamanya berkenaan saling ingat-memperingati sesama muslim.  Hilang mengantuk ana mendengar tazkirah ‘beliau’.  Terlalu banyak isi menarik yang ana sendiri tidak mampu susun mengikut kronologinya.  Secara ringkasnya:

“Manusia sering kali lupa dan mereka selalunya berasa gembira apabila umur semakin bertambah walhal di akhirat pada ketika itu umur kita semakin berkurangan.  Itu tandanya semakin bertambah umur kita di atas dunia, semakin kita menghampiri mati.  Apa yang kita nampak langkah kita pergi main bola, pergi belajar sedang pada hakikatnya perjalanan itu sebenarnya perjalanan menuju mati.”

Malam ini suka untuk ana highlight-kan tentang satu kenyataan menarik dari imam muda surau ini,

“Zaman sekarang ini, apabila diajak solat dikatakan pelik.  Perkara normal itu seperti jom shopping, jom main game.  Tapi bila jom solat, orang selalu cakap ‘pelik budak ni’ atau ‘kenapa kau ni?’.  Kenapa dipandang pelik? Kerana kita sudah tidak mengamalkan cara hidup Islam, kita tidak menghidupkan cara hidup Rasulullah.  Zaman Rasulullah dahulu, bila diajak solat, sahabat malah berebut-rebut untuk melaksanakannya tetapi zaman sekarang, zaman akhir zaman, zaman munculnya fitnah Dajjal, manusia memandang pelik perkara asas ini”

Katanya satu kenyataan, tapi dah macam bertambah-tambah pulak. Hehe… Sebelum ana berundur, ana nak minta maaf kerana lambat update untuk 3 Ramadhan ini.  Ana mencuri waktu untuk berkemas pulang.  Sehingga berjumpa lagi.  Fi hifzillah ya sahabat. 

Assalamualaikum wbt J




Thursday 11 July 2013

2 RAMADHAN 1434H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, hari ini 11 Julai 2013 bersamaan 2 Ramadhan 1434H, ana masih lagi diberi kesempatan untuk berpuasa buat hari kedua.  Hari ini seperti biasa siang diisi dengan membaca ‘buku cerita’ dan petang ana bersama teman-teman serumah pergi ke tapak bazar membeli juadah berbuka.  Lokasi hari ini di persekitan Masjid Pengkalan Rama.  Tak banyak gerai, terlalu sedikit tapi syukur kami berpuas hati dengan makanan yang dijual.

Tarawikh hari ini diturut serta dua rakan serumah.  Alhamdulillah kami dapat mencipta kenangan Ramadhan.  Pada mulanya, semasa berbuka, kami berkira-kira hendak bertarawikh di mana.  Cadangan ana pergi ke Masjid Pengkalan Rama memandangkan ana tidak pernah ke sana lagi.  Tetapi memandangkan lokasinya yang agak terpencil walaupun jarak yang dekat, keselamatan perlu diutamakan.  Kami ni perempuan…

Hari ini, ana berada di saf belakang surau manakala dua lagi beranjak ke dalam semasa jemaah berdiri untuk menunaikan solat Isyak.  Ana tak sempat mencelah memandangkan jemaah yang masih menunggu di luar mencelah masuk ke dalam.  Tarawikh malam ini penuh ujian.  Satu di mana ana terganggu dengan muslimat di sebelah kiri ana yang “solat ekspres” dan keduanya jeritan gadis-gadis di apartment berdekatan.

Nauzubillah bersahut-sahutan jeritan, rupa-rupanya kejutan sambutan hari jadi.  Terdetik juga dalam hati, mereka ni manusia jenis apa? Butakah mereka jemaah sedang bersolat di surau? Pekakkah mereka dengan pembesar suara bacaan imam memimpin kami berjemaah?  Semoga Allah membuka pintu hati mereka.  Sebelum pulang, sempat juga menoleh ke tempat kejadian, ramai berkumpul di sana, menjalani hukuman dari pihak apartment mungkin.  Wallahualam…

Pengisian tazkirah hari ini sangat padat dalam masa yang amat singkat.

Pertama : Pengajaran hikmah di sebalik sesuatu kejadian diceritakan melalui kisah seorang pakcik, anak lelakinya dan kuda yang diternak.  Ana pasti ramai yang familiar dengan kisah ini.

Kedua : Kisah syaitan takut kepada ahli sufi.  Kisahnya di mana syaitan sendiri mengejutkan ahli sufi yang terlewat bangun untuk mengerjakan solat Subuh kerana syaitan khuatir ahli sufi tersebut akan mengerjakan lebih amal untuk “topup” pekerjaan wajib beliau.

Ketiganya, ana tertarik dengan satu “statement” ‘ustaz muda’ kita di mana akhi berkata;

“Jika kita leka dengan Facebook selama dua jam, kita perlu menggantikannya dengan membaca Al-Quran selama dua jam kita. Mampukah kita?  Maka amal hendaklah mengikut kemampuan kita”

Maka dengan itu, tamatlah coretan untuk kali ini. Ana nak berehat memandangkan esok ana perlu menghadapi peperiksaan terakhir untuk semester ini.  Doakan ana supaya dapat menjawab dengan tenang dan dipermudahkan segala urusan.  Insya Allah, amin…

Hingga berjumpa lagi, fi hifzillah.  Assalamualaikum wbt J


Wednesday 10 July 2013

1 RAMADHAN 1434H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, hari ini masih lagi diberi kesempatan bertemu Ramadhan tahun ini.  Alhamdulillah hari ini diberi sepenuh tenaga, Insya Allah seteguh iman menempuh hari pertama berpuasa.  Puasa pertama, aktiviti di bazar sudah tentu.  Ana pergi bersama teman-teman serumah ke tapak bazar berdekatan UTC Bandar Melaka.  Alhamdulillah tidak mengikut nafsu, membeli pada kadar kemampuan, itu pun senak juga dibuatnya. Hanya makanan berat satu bungkus, kuih RM1 dan air tin.  Agaknya Allah suruh teruskan diet mungkin.. hehe..

Alhamdulillah hari ini masih lagi bersemangat untuk meneruskan misi tarawikh, masih dikuatkan iman untuk solat berjemaah bersama rakan-rakan mukmin.  Hari ini, ana gerak lambat sedikit berbanding semalam kerana ana berbuka puasa bersama teman serumah dan solat Maghrib di rumah terlebih dahulu.  Perjalanan hari ini, ana terlihat bulan yang sangat indah dan tidak jauh darinya seperti bintang kecil.  Subhanallah, cantik sangat! Ana tersenyum seorang diri sambil berjalan tu.  Terasa kerdil diri ini dibandingkan ciptaan Allah Yang Maha Agung tu.

Sangka ana setiba di surau, mungkin ana akan menempah saf di belakang.  Subhanallah walhamdulillah Allah berikan kesempatan dan peluang kepada ana untuk mencelah memandangkan saf di hadapan masih kosong.  Seronok bukan main haih ! hehe...  Jemaah hari ini ana tidak pasti ramainya sama dengan semalam atau tidak kerana ana di saf hadapan dan tidak sesekali menoleh ke belakang.  Pandang pun, mungkin tidak nampak dgn jelas.  Yang pastinya, masih ada dan masih ramai jemaah meneruskan misi tarawikh dalam bulan mulia ini.

Seperti biasa, selang 4 rakaat tarawikh diisi dengan 5-10 minit tazkirah.  Pengisian hari ini berkisahkan tentang akidah dan akhlak.  Panjang ceramah “ustaz muda” kita tu, tapi yang paling ana tertarik ialah dua perkara iaitu;

Pertama : Musabab prasangka atau sebab bersangka buruk adalah kerana kita fikir kita lebih baik daripada seseorang

Kedua : Sering kali manusia komen dan memberi pandangan tentang isu sosial remaja itu dan ini tetapi apabila diberi kesempatan berdakwah, mereka tolak.  Kenapa? Kerana tiada pergantungan kepada Allah sepenuhnya.

Sebelum ana terlupa, ana suka nak berkongsi tentang seorang muslimat yang membuatkan ana kagum dengan dirinya.  Sewaktu mendapat tempat di saf hadapan, di sekeliling ana terdapat ramai rakan muslimat mengisi masa menunggu azan Isyak dengan membaca Al-Quran Al-Karim.  Ana terpukau dengan bacaan muslimat di sebelah kanan ana di mana.. Subhanallah rasa dah macam duduk sebelah qariah pulak.  Semoga dia istiqamah dengan amalannya.  Amin J

Setakat ini sahajalah ana kongsikan.  Ana nak berehat, lelap sekejap.  Lewat malam nanti ana nak sambung baca ‘buku cerita’.  Almaklumlah penghulu hari nanti ana nak kena jawab periksa.  Undur diri dulu ya.  Semoga Allah merahmati semuanya, fi hifzillah.  Amin.


Assalamualaikum wbt 

DI AMBANG RAMADHAN 1434H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.  Alhamdulillah dipanjatkan syukur ke hadrat Illahi dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bertemu Ramadhan tahun ini.

Suka untuk ana berkongsi satu kisah benar di ambang Ramadhan 1434H, malam ini.  Kisahnya di mana ana melihat semangat umat Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh dan beriya-iya menyambut Ramadhan.  Cerita ini berlaku di surau Apartmen Yayasan Melaka atau lebih dikenali sebagai AYAM.

Ana menetap di hostel lebih kurang perjalanan 8 minit ke surau sana.  Oleh sebab di sana surau terdekat untuk melaksanakan tarawikh kali pertama, ana turutkan dan bertolak selepas selesai solat Maghrib di kolej.  Subhanallah ana terkesima di mana pada kira-kira jam 7:50 malam, sudah ramai jemaah memenuhi saf di dalam surau malahan di luar surau pun masih ramai yang tidak berganjak dari tempat dengan harapan supaya dapat sama-sama bertarawikh di sana. 

Subhanallah bayangkanlah, sampaikan tikar dibentang di dalam surau diganti dengan karpet dan tikar tersebut dibentangkan di atas rumput buat alas sejadah jemaah muslimat.  Sampaikan jawatankuasa surau kebuntuan hingga membuat pengumuman, sesiapa yang ingin turun bertarawikh dinasihatkan membawa tikar sendiri.  Hebat kan penangan ambang Ramadhan kali ini?

Tak cukup dengan itu, rakan Muslimin yang telah sampai tidak dibenarkan masuk ke surau bagi memberi laluan kepada jemaah muslimat untuk mengatur saf.  Dicabut pula tirai langsir pembahagi jemaah Muslimin dan muslimat supaya dijadikan alas untuk jemaah muslimat di luar surau.  Ana tersenyum dan sebak melihat semangat mereka.  Sangkaan ana, mereka yang tidak mendapat tempat akan pulang ke rumah masing-masing, namun sangkaan ana meleset.

Ana sempat solat Isyak berjemaah di sana dan diteruskan dengan solat tarawikh 8 rakaat berselang 4 rakaat dan tazkirah.  3 rakaat solat sunat witir dengan 2 salam.  Sebelum ana menghabiskan coretan, ana nak berkongsi sedikit ilmu yang ana dapat melalui pengisian tazkirah malam ini.

Dua perkara yang ana sangat-sangat tertarik iaitu;

Pertama : Bagi hamba Allah yang berpuasa di bulan Ramadhan, akan dijauhkan dari api neraka selama jarak 70 tahun. (petikan dari riwayat Nabi, sila tegur andai tersilap)

Kedua : Diriwayatkan ketika Nabi Muhammad SAW menyampaikan dakwah di mana Baginda memberi peringatan kepada kaum mukmin, “Takutlah dikau akan neraka”, Baginda tidak menghiraukan selendang yang jatuh dari bahu Baginda.  Menunjukkan Baginda SAW sendiri berasa sangat gentar dan takut dengan azab api neraka.

Sekian dari ana, semoga mendapat manfaat dan iktibar.


Assalamualaikum wbt